AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Sungai Selangor tercemar lagi, loji bersih air dihenti tugas empat jam

SHAH ALAM, 26 APRIL: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sedang menyiasat punca pencemaran bau di Sungai Selangor sehingga menyebabkan Loji Pembersihan Air (LPA) Rantau Panjang dihenti tugas hampir empat jam awal pagi tadi.

Ia kali kedua sungai menjadi sumber bagi merawat air untuk kegunaan pengguna di Lembah Klang tercemar dalam tempoh 10 hari.

Agensi itu memaklumkan LPA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada jam 12.15 tengah malam tadi selepas pihaknya mengesan pencemaran bau, bagaimanapun ia kembali beroperasi jam 4 pagi.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca pencemaran bau berkenaan,” katanya dalam Facebook di sini hari ini.

Bagaimanapun, ia tidak menyebabkan gangguan bekalan air seperti berlaku pada 17 April lalu apabila Loji Rawatan Air (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas juga akibat pencemaran bau di Sungai Selangor.

Siasatan mendapati ia berpunca daripada kolam ikan keli dan tindakan tegas diambil Pejabat Daerah dan Tanah Gombak yang menyita dan merobohkan premisnya dalam satu operasi, Isnin lalu.


Pengarang :