Pasukan Prtugas Kesihatan Selcare menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 dari rumah ke rumah anjuran Kerajaan Selangor secara percuma di Rantau Panjang, Klang pada 19 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Susah cari rumah antara cabaran petugas Saringan Komuniti di Rantau Panjang

SHAH ALAM, 20 APRIL: Alamat kurang jelas dan kedudukan rumah tidak tersusun antara cabaran Pasukan Petugas Kesihatan Selcare menjalankan Saringan Komuniti di Rantau Panjang di sini semalam.

Namun dengan memakai tiga lapis pakaian termasuk peralatan perlindungan peribadi (PPE) ketika cuaca panas tidak mematahkan semangat mereka.

Dr Megat Ahmad Nubli berkata mereka pada mulanya mengalami kesukaran kerana alamat rumah di kampung yang berpandukan tanah lot sukar difahami dan tidak jelas sekali gus melambatkan proses saringan.

“Tetapi dengan semangat untuk membanteras penularan Covid-19 dan kerjasama penduduk, Pasukan Petugas Selcare berjaya melakukan kerja Saringan Komuniti,” katanya ketika ditemui Selangorkini di sini semalam.

Kesukaran mencari kediaman di Rantau Panjang turut diakui pembantu perubatan, Ezza Azlyana David @ Sulaiman yang pada minggu lalu ditugaskan di kawasan perumahan di sekitar Hulu Langat.

“Mudah mencari di kawasan rumah teres, hari ini tugas saya hanya di sebuah kampung tetapi hendak mencari rumah bukannya mudah kerana kedudukan rumah tidak tersusun,” katanya.

Bagi graduan perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Nur Khalidah Zul Fikri, menjadi petugas dalam melaksanakan Saringan Komuniti untuk mengesan Covid-19 adalah satu pengalaman berharga sebelum beliau menyertai latihan amali (housemanship) tidak lama lagi.

“Bukan mudah mendapatkan pengalaman menjalankan saringan dari rumah ke rumah yang tidak pernah dibuat di tempat lain dan dapat berinteraksi dengan penduduk kampung,” katanya.

Kerajaan Selangor pada 11 April lalu melancarkan Saringan Komuniti pertama kali di Malaysia, membabitkan pemeriksaan berskala besar bagi mengesan individu yang dijangkiti mahupun pembawa Covid-19.

Selain di Rantau Panjang, ujian itu bakal diperluaskan ke Puchong Prima, Petaling dan Shah Alam pada minggu ini.


Pengarang :