Penolong Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Muhammad ‘Aifaa Ibrahim (kiri) bersama rakan bertugas dalam rasa bahang sambil menahan lapar dan dahaga ketika Ramadan untuk merawat pesakit mempunyai simptom Covid-19.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tahan lapar dan dahaga, cabaran besar rawat Covid-19

SHAH ALAM, 26 APRIL: Bertugas pada Ramadan ketika negara berdepan penularan Covid-19 dianggap petugas perubatan sebagai pengalaman mencabar kerana mereka perlu menahan lapar dan dahaga sambil memakai sut perlindungan diri (PPE) dalam tempoh lama.

Namun, penolong pegawai perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Muhammad ‘Aifaa Ibrahim menyifatkan detik itu amat bermakna bagi menambah amalan kebaikan dengan merawat pesakit biarpun berbahang memakai PPE sekurang-kurangnya tujuh jam hingga terpaksa berbuka puasa.

“Pada hari pertama puasa saya ditugaskan di Zon X menempatkan pesakit mempunyai gejala Covid-19 yang memerlukan pemakaiannya bagi mengelak jangkitan, bayangkan menahan bahang dari jam 2 petang hingga 9 malam.

“Apabila tiba waktu berbuka puasa hanya dapat meneguk sedikit air kerana perlu meneruskan tugas, selepas selesai baharu dapat makan dan solat maghrib secara bergilir-gilir dengan rakan,” kata petugas di Jabatan Kecemasan HTAR kepada Selangorkini di sini hari ini.

Anak jati dari Kuala Selangor berusia 32 tahun berkata beliau sebagai petugas barisan hadapan menerima cabaran berkenaan dengan hati terbuka dan berharap tugas serta ibadatnya diterima Allah.

“Walau berat diluahkan tetapi ini adalah pengorbanan kami demi keluarga, negara dan agama.

“Bertugas ketika penyebaran wabak Covid-19 mengubah cara kerja kami berbanding Ramadan sebelum ini, ia bukannya mudah tetapi harus dilakukan untuk memberikan rawatan terbaik,” kata bapa kepada tiga anak.


Pengarang :