Sekatan jalan dilakukan polis dan tentera berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Seksyen 7, Shah Alam pada 10 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tahan reman, heret ke mahkamah jika degil langgar PKP

SHAH ALAM, 14 APRIL: Mulai esok, individu ditahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan direman dan dikenakan tindakan mahkamah, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada lagi kompaun dikeluarkan dan polis diberi kuasa budi bicara untuk menentukan mereka ditahan itu perlu dihadap ke mahkamah atau tidak.

“Saya percaya rakyat berharap polis dapat bertindak lebih keras dan tegas kerana kita lihat rakyat seolah tidak peduli atau takut dengan undang-undang.

“Mungkin kompaun RM1,000 itu tidak dianggap tinggi untuk takutkan mereka yang ingkar PKP, mulai esok polis tidak lagi bagi tumpuan kepada kompaun, sebaliknya sesiapa ditahan akan direman dan dihadapkan ke mahkamah,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri berkenaan PKP, di Putrajaya, hari ini.

Tambahnya, mahkamah akan memutuskan hukuman dikenakan kepada pesalah mengikut Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Mahkamah boleh hukum penjara tidak lebih dua tahun, dan lima tahun penjara bagi kesalahan seterusnya, jadi biar mahkamah tentukan hukuman lebih berat untuk mereka yang ingkar,” katanya.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata seramai 1,374 individu ditahan semalam kerana ingkar PKP yang merangkumi 931 dikenakan kompaun RM1,000 manakala 418 direman dan 25 diberi jaminan polis.

“Semalam juga seramai 427 individu dituduh di mahkamah kerana ingkar PKP. Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP meningkat kepada 9,090 manakala 4,036 kompaun dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak memuat naik hantaran berita palsu di media sosial.

“Biarpun ada sudah memadam hantaran, polis masih boleh panggil untuk siasatan, tiada kompromi kepada mereka yang salah guna media sosial, jadi tolong jangan lakukan perkara menyusahkan diri sendiri,” katanya.


Pengarang :