Gambar Hiasan
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tambahan RM7.9 bilion subsidi upah manfaat 4.8 juta pekerja

SHAH ALAM, 6 APRIL: Perdana menteri mengumumkan tambahan RM7.9 bilion bagi program subsidi upah, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM13.8 bilion.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan tambahan itu membabitkan syarikat dan pekerja tempatan bergaji RM4,000 dan ke bawah.

“Kira-kira 4.8 juta pekerja dijangka akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini. Majikan yang memilih bantuan ini disyarat mengekalkan pekerja sekurang-kurangnya enam bulan,” katanya ketika mengumumkan Langkah Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin di Putrajaya hari ini.

Katanya, bantuan tiga bulan itu dikhususkan kepada majikan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau pihak berkuasa tempatan sebelum 1 Januari 2020 dan Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Bantuan subsidi upah seperti berikut:

1. Bagi syarikat lebih 200 pekerja, subsidi upah sebanyak RM600 seorang dikekalkan, namun bilangan maksimum pekerja yang layak menerima subsidi akan ditingkatkan daripada 100 kepada 200 orang

2. Bagi syarikat bilangan pekerja 76 hingga 200 orang, subsidi upah sebanyak RM800 bagi setiap pekerja

3. Bagi syarikat bilangan pekerja sehingga 75 orang, subsidi upah sebanyak RM1,200 bagi setiap pekerja

Pada 27 Mac lalu, kerajaan mengumumkan peruntukan RM5.9 bilion bagi program berkenaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19.


Pengarang :