AGENDAPENDIDIKAN

Tangguh bayar balik pinjaman manfaatkan mahasiswa dan alumni

SHAH ALAM, 2 APRIL: Penangguhan bayaran balik pinjaman institusi pengajian tinggi di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri bakal memanfaatkan ribuan alumni dan mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Rektornya, Profesor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri menyambut baik inisiatif Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 itu.

“Sudah tentu penuntut atau alumni yang mungkin terbeban berasa lebih lega dan keputusan ini selaras dengan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Kerajaan Selangor mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman  secara automatik bagi peminjam bermula 1 April hingga 30 September.

Pada masa sama bantuan makanan percuma melalui pihak universiti juga diberi sekali gus membabitkan peruntukan sejumlah RM6.07 juta.

Dalam perkembangan lain, Ab Halim berkata terdapat kira-kira 170 mahasiswa masih tinggal di asrama Kuis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mereka diberi bantuan makanan tiga kali sehari dan Kuis turut menyediakan khidmat kaunseling sekiranya ada pelajar berasa tertekan dengan hanya duduk di dalam bilik.

“Diharapkan mereka bersabar kerana hanya dengan cara ini kita dapat membendung penularan wabak Covid-19,” katanya.


Pengarang :