EXCOSELANGOR

Tangguh dulu pasar tani di Stadium Shah Alam – EXCO pertanian

SHAH ALAM, 3 APRIL: Tangguh dulu, itu reaksi EXCO pertanian berhubung penganjuran pasar tani di Stadium Shah Alam Seksyen 13 yang dijadual bermula Ahad ini.

Mengambil kira keselamatan orang awam, Ir Izham Hashim berkata beliau bimbang anggota penguat kuasa sukar mengawal pergerakan pengunjung sepanjang operasi pasar berlangsung.

“Kerajaan Negeri juga akan meneliti tahap keselamatan termasuk memantau perkembangan wabak Covid-19, daripada situ kita akan lihat sama ada pasar tani ini selamat dilaksanakan ataupun tidak,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam Izham mengumumkan Majlis Keselamatan Negara meluluskan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 sebagai lokasi pasar tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Ia susulan kenyataan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 31 Mac lalu yang memaklumkan Fama akan menyediakan 97 pasar tani di seluruh negara.

Keputusan itu diambil berikutan berlaku kesesakan di pasar awam sedia ada dan ia sukar dikawal walaupun mengamalkan penjarakan sosial selamat sejauh satu meter.

Namun Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini berkata penganjuran pasar tani itu akan dikaji semula sama ada wajar untuk dibuka ataupun tidak.


Pengarang :