Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Putrajaya.
AGENDANASIONAL

Terima kasih rakyat Malaysia, hari jadi terindah buat saya – Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas ucapan sempena ulang tahun kelahiran beliau.

Beliau menyifatkan ulang tahun kelahirannya yang ke-57 semalam dengan iringan doa ramai rakyat Malaysia adalah ulang tahun yang akan sentiasa tersemat dalam memorinya.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyampaikan ucapan hari lahir dan doa yang sungguh bermakna. Ia sesungguhnya merupakan sambutan ulang tahun kelahiran yang terindah sepanjang hayat saya.

“Terima kasih semua rakyat Malaysia dan marilah kita semua terus memerangi dan menamatkan rantaian jangkitan Covid-19. Kekal selamat dan duduk rumah,” kata beliau di Twitter malam ini.

Ribuan warga maya mengambil peluang menghantar ucapan hari lahir kepada Dr Noor Hisham yang menyambut ulang tahunnya semalam.

Laman sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram dibanjiri ucapan tahniah dan doa untuk Ketua Pengarah Kesihatan itu, tokoh penting di barisan hadapan dalam perjuangan negara memerangi pandemik Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :