Seramai 80 anggota dan empat pegawai FRU ditempatkan di daerah Petaling bermula 10 April. Foto Sumber: Facebook IPD Petaling Jaya
AGENDANASIONAL

Tiada jangkitan baharu Covid-19 di Petaling, Hulu Langat 397 kes

SHAH ALAM, 13 APRIL: Tiada kes baharu Covid-19 di Petaling hari ini walaupun semalam 21 kes direkodkan.

Mengikut data yang dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) negeri setakat 7.45 malam tadi, Petaling kekal dengan 359 kes dan Klang juga tidak merekodkan sebarang kes baharu menjadikan kes di daerah itu juga kekal 166.

Hulu Langat mencatatkan kes baharu tertinggi di antara enam daerah dalam zon merah dengan lima kes menjadikan ia kini merekodkan 397 kes, manakala dua kes di Hulu Selangor (47) serta masing-masing satu di Gombak (132) dan Sepang (62).

Bagi daerah termasuk dalam zon jingga, Kuala Selangor mencatatkan tiga kes baharu menjadikan kesnya meningkat 33, satu kes di Sabak Bernam (22) manakala tiada kes baharu di Kuala Langat yang kekal dengan 27.

Keseluruhannya, Selangor mencatatkan kenaikan 13 kes atau 1.06 peratus, dengan jumlah kumulatif 1,245 kes dan kekal dengan sepuluh kematian setakat ini.

Pesakit yang sembuh pula seramai 1,066 orang, sementara 24 dirawat di unit rawatan rapi.

Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.


Pengarang :