Petugas Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melakukan proses nyahkuman di Pasar MBSA Pekan Subang, Shah Alam pada 29 Mac 2020 bagi mencegah penularan Covid-19. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Tiada kes Covid-19 pada 5 dan 12 April, komitmen warga Shah Alam dihargai

SHAH ALAM, 14 APRIL: Tiada kes positif Covid-19 direkodkan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 5 dan 12 April lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata pihaknya yakin keputusan itu adalah hasil kerjasama dan komitmen semua pihak termasuk warga Shah Alam yang sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kami ingin ucapkan tahniah dan terima kasih kepada warga Shah Alam kerana bekerjasama membantu dalam menangani wabak Covid-19 ini.

“Teruslah kekal di rumah, tidak melakukan aktiviti luar, mengamalkan kebersihan dengan sentiasa basuh tangan dengan air dan sabun serta gunakan cecair pembasmi kuman. Tidak lupa jaga jarak sosial selamat,” katanya kepada SelangorKini.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor turut memaklumkan Selangor mencatatkan penurunan kes baharu daripada 53 pada 12 April kepada 13 semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata justeru penurunan itu sekali gus memberi keyakinan rantaian wabak Covid-19 mampu diputuskan.


Pengarang :