AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tiada program Ramadan di masjid dan surau di Selangor

SHAH ALAM, 17 APRIL: Semua program Ihya’ Ramadan di masjid dan surau membabitkan orang ramai tidak dibenarkan di negeri ini, kata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Mohd Shahzihan Ahmad berkata ini termasuk pengedaran bubur lambuk, program berbuka puasa, memasak dan mengagih juadah secara pandu lalu, lapor Sinar Harian.

“Mana-mana kutipan bagi penganjuran program Ihya’ Ramadan diterima masjid dan surau sebelum ini boleh ditangguhkan penggunaannya untuk tahun berikutnya.

“Program sumbangan prihatin kepada ahli kariah termasuk anak yatim yang memerlukan boleh dibuat berdasarkan keupayaan kewangan masing-masing, tertakluk kepada garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan Jais pada 2 April lalu,” katanya.

Mohd Shahzihan turut menasihatkan jawatankuasa masjid dan surau menyalurkan sumbangan tunai ke akaun penerima secara dalam talian.

Pada 13 April lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan solat Jumaat, jemaah dan aktiviti ceramah serta kuliah di semua masjid dan surau di negeri itu ditangguh sehingga 31 Mei ini.

Keputusan itu diambil susulan kebimbangan terhadap 6.5 juta penduduk Selangor yang mungkin terdedah kepada jangkitan Covid-19 jika langkah pencegahan tidak diambil dengan bersungguh-sungguh.


Pengarang :