Pasukan petugas kesihatan Selcare menjalankan Saringan Komuniti Covid-19 dari rumah ke rumah di Rantau Panjang, Klang pada 19 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tiga daerah lagi zon hijau, jumlah keseluruhan 88

SHAH ALAM, 30 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan tiga lagi daerah diisytiharkan sebagai zon hijau hari ini, menjadikan 88 daerah secara keseluruhannya bagi seluruh negara.

KKM menerusi Twitter berkata, 12 daerah masih kekal berada dalam zon merah iaitu dua di Selangor iaitu Petaling dan Hulu Langat.

Ia disusuli dengan Titiwangsa, Lembah Pantai dan Kepong di Kuala Lumpur, kemudian Johor Baharu dan Kluang di Johor.

Lima lagi daerah ialah Kuantan di Pahang, Seremban (Negeri Sembilan), Kuching dan Kota Samarahan (Sarawak) serta Melaka Tengah (Melaka).

“Tiga negeri mencatatkan zon hijau iaitu Perlis, Kedah dan Kelantan. Sementara Pulau Pinang, Perak dan Labuan mencatatkan hanya satu digit kes positif sehingga semalam.

“Perintah Kawalan Pergerakan fasa keempat penting untuk memulihkan negara kita daripada penularan Covid-19,” jelas kenyataan itu.

Semalam Malaysia mencatatkan 94 lagi kes positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif pesakit wabak ialah 5,945 manakala kes sembuh keseluruhan 4,087.

Tiada kes kematian dilaporkan menjadikan jumlahnya kekal 100.


Pengarang :