AGENSISELANGOR

Tindakan lebih tegas pihak ganggu bekalan air

SHAH ALAM, 17 APRIL: Premis kolam ikan yang melepaskan aliran air ke Sungai Selangor sehingga menyebabkan empat loji pembersihan terpaksa dihenti tugas, akan dikenakan tindakan lebih tegas, kata Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Anak syarikat Kerajaan Negeri itu memaklumkan pihak tersebut didapati melakukan perbuatan tersebut susulan siasatan bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), sebaik Kod Merah Kecemasan Pencemaran Sungai Negeri Selangor diaktifkan.

“Pensampelan kualiti air dilaksanakan untuk dianalisa Jabatan Kimia dan siasatan mendapati premis yang sebelum ini diberikan surat arahan pada Februari lalu untuk memberhentikan kerja serta-merta juga membuat kerja pembersihan namun pencemaran masih berulang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadapnya dengan pemberhentian operasi serta-merta sehingga menyediakan sistem rawatan sisa buangan yang sempurna dengan tiada pelepasan discaj (bahan penyingkiran) berbau ke Sungai Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Air Selangor memaklumkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada jam 11 malam tadi.

Syarikat utiliti itu berkata tindakan tersebut dibuat berikutan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor, namun kesemua loji kembali beroperasi jam 6.30 pagi tadi.


Pengarang :