AGENSISELANGOR

Tindakan pantas kesan tompokan minyak elak gangguan air

SHAH ALAM, 28 APRIL: Tindakan pantas kawalan pencemaran di alur kolam KL-Larut di Bestari Jaya berjaya mengelak berlaku gangguan bekalan air kepada pengguna, kata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

LUAS berkata pencemaran tompokan minyak dikesan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada jam 11.20 pagi semalam ketika menjalankan Ops Sumber Air berhampiran sebuah kilang menjalankan aktiviti pengilangan besi.

“Justeru kod kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air diaktifkan bagi siasatan secara menyeluruh di kawasan terlibat sebelum menemui kesan tompokan disyaki minyak hidraulik berhampiran sebuah
kilang.

“Premis tersebut didapati telah menghentikan operasi sejak 18 Mac lalu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan,” katanya.

LUAS berkata perangkap minyak dipasang di kawasan alur dan muka sauk Loji Pembersihan (LPA) SSP1, SSP2 dan SSP3 selepas penemuan longgokan tong minyak serta kolam sisa minyak terpakai di kawasan kilang
tersebut.

“Selain itu, pihak Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) juga sedang dalam proses untuk menyedut sisa minyak berkenaan,” katanya.

Justeru, LUAS mengarahkan pemilik premis terlibat menyediakan penghadang minyak bagi tangki simpanan diesel untuk mengurangkan risiko tumpahan serta menyimpan tong minyak kosong di kawasan
tertutup.

“Kerajaan Negeri dan LUAS menyeru kepada semua agar prihatin terhadap kawasan sumber air negeri terutama sungai dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air,” katanya.


Pengarang :