EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Tingkat kuat kuasa PBT di pusat buang sampah haram

SHAH ALAM, 15 APRIL: Penutup mulut dan hidung, bekas cecair pembasmi kuman serta sarung tangan terpakai yang banyak ditemui di Sungai Klang sejak Mac lalu dipercayai dihanyutkan dari pusat pembuangan sampah haram, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata dianggarkan ratusan pusat pembuangan haram wujud di pinggir sungai itu yang mengakibatkan pencemaran.

“Kebanyakannya datang pada waktu malam bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa, mungkin penutup mulut dan hidung serta barang lain ditemui di Sungai Klang itu dihanyutkan dari tempat pembuangan sampah haram.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh meningkatkan penguatkuasaan di kawasan berkaitan bagi mengelakkan perkara sama berulang,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Loy Sian berkata ia berkemungkinan besar bukan sisa klinikal hospital kerana dikendalikan Jabatan Alam Sekitar yang melupuskannya di lokasi khas di Kuala Langat.

Semalam, SelangorKini melaporkan penemuan semua barangan itu yang banyak ditemui di Sungai Klang sejak Mac lalu. Ia berdasarkan penemuan oleh anak syarikat Kerajaan Negeri, Landasan Lumayan Sdn Bhd yang bertanggungjawab menjalankan kerja pembersihan di sungai berkenaan.

Kerja sepanjang 120 kilometer itu bermula dari kawasan sungai di Ampang, Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan seterusnya Klang.


Pengarang :