Sekatan jalan raya oleh anggota polis bersama pasukan Rela di Seksyen 24, Shah Alam pada 16 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Tinjauan STFC: 80 peratus setuju PKP dilanjutkan bagi fasa keempat

SHAH ALAM, 21 APRIL: Sebanyak 80 peratus daripada lebih 2,200 responden yang menyertai tinjauan pendapat di Facebook Selangor Task Force Covid-19 (STFC) berpendapat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wajar dilanjutkan.

Dalam tempoh 24 jam mulai 5.30 petang semalam, 80 peratus atau atau kira-kira 1,760 pengunjung Facebook STFC setuju PKP dilanjutkan bagi fasa keempat, manakala 20 peratus lagi tidak setuju.

Fasa ketiga PKP berakhir pada 28 April ini dan kerajaan sebelum ini menyatakan apa juga keputusan sama ada arahan itu akan dilanjutkan, bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

Pengunjung Facebook yang menggunakan akaun Nazri Taib meminta kerajaan melaksanakan PKP fasa keempat dan membuat saringan kesihatan besar-besaran di penempatan warga asing.

“Kita tak nak menjadi seperti Singapura,” katanya merujuk kepada jumlah kes positif Covid-19 di negara jiran itu yang meningkat mendadak sejak beberapa hari lalu.

Seorang lagi pengunjung, Alif Ain berpendapat kelonggaran pergerakan perlu dipertimbangkan bagi tujuan yang tidak melibatkan perjumpaan dengan jumlah terhad, di samping penjarakan sosial mesti dipatuhi sepenuhnya.

Mohd Hakimi pula berpendapat PKP diteruskan di zon merah sahaja dan orang ramai tidak boleh keluar masuk ke kawasan berkenaan.

“Semua sekolah masih ditutup sehingga Malaysia semuanya zon hijau,” katanya.

Menteri Kanan (kluster keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di Putrajaya hari ini berkata ada pihak mula merasakan keperluan untuk melonggarkan PKP, susulan aliran penurunan jumlah kes baharu positif Covid-19 di negara ini.

Bagaimanapun katanya kerajaan tidak akan melonggarkan tatacara operasi piawai (SOP) PKP dan penguatkuasaan adalah seperti biasa sehingga SOP baharu diperkenalkan.


Pengarang :