(Hiasan) Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan cuba menculik seorang kanak-kanak tujuh tahun. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDAJENAYAH

`Tolong duduk di rumah’ nasihat hakim kepada pesalah PKP

SHAH ALAM, 14 APRIL: “Jangan fikirkan diri sendiri, tolong fikirkan keselamatan orang lain terutama barisan hadapan. Ini adalah penyakit berjangkit, jangan ambil mudah perintah ini, tolong duduk di rumah,” kata seorang pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi terhadap pesalah yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Norsharidah Awang berkata sekiranya mahkamah tidak menjatuhkan hukuman berat, orang awam akan melakukan kesalahan sama dan tidak akan mengambil berat arahan kerajaan supaya duduk di rumah untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Beliau berkata demikian semasa membuat keputusan dalam permohonan semakan difailkan 17 individu terhadap hukuman penjara 14 hari kerana melanggar PKP dengan berkumpul di sebuah unit kondominium pada 3 April lepas.

Norsharidah dalam keputusannya mengekalkan hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Kajang, bagaimanapun beliau memendekkan tempoh penjara dari 14 hari kepada 10 hari.

“Saya harap selama kamu ditahan di penjara, ia akan memberi pengajaran kepada kamu semua. Jangan buat kesalahan ini lagi. Hari ini kamu semua akan dibebaskan,” katanya.

Seramai 17 daripada mereka termasuk dua wanita yang berumur antara 22 dan 34 tahun masing-masing mengucapkan terima kasih kepada mahkamah selepas mendengar keputusan itu.

Terdahulu, mahkamah mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shahida Wan Omar dan peguam K.A Ramu, Kirthiraj Rajasundram dan Jabir-Abdullah Amir yang mewakili 17 individu itu.

Mereka menfailkan semakan bagi memohon supaya Mahkamah Tinggi menggantikan hukuman penjara kepada perintah khidmat masyarakat atau memendekkan tempoh hukuman penjara atau dikenakan hukuman denda.

Pada 8 April, Mahkamah Majistret Kajang menjatuhkan hukuman penjara 14 hari terhadap kumpulan terbabit selepas masing-masing mengaku bersalah terhadap pertuduhan berada di kawasan jangkitan tanpa alasan munasabah di Kondominium Amerin, Taming Jaya, Kajang, pada 12.35 malam, 3 April, yang melanggar PKP.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 3 April.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 6 dan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :