Notis penjarakan sosial diletakkan di tempat duduk tren Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang bagi mengawal penularan Covid-19 pada 5 April 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Topeng muka: KKM tunggu garis panduan WHO

SHAH ALAM, 5 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menunggu garis panduan daripada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) berhubung pemakaian topeng muka di tempat awam.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika ini KKM hanya menasihatkan petugas barisan hadapan untuk memakai topeng muka, manakala pemakaian untuk orang awam hanya jika mempunyai gejala.

“Persoalan sekarang adakah semua orang perlu memakai topeng muka. Jika berada di tempat awam, mungkin anda perlu (memakai topeng), namun kita perlu lihat bukti dahulu.

“Ketika ini, kementerian tidak mengarahkan atau menghalang sesiapa untuk memakai topeng muka terutama jika berada di tempat awam,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, pakar kesihatan berpendapat tiada keperluan bagi individu sihat memakai topeng muka di tempat awam kerana alat itu hanya digunakan jika sakit.

Bagaimanapun, WHO pada Jumaat lalu memaklumkan pemakaian topeng muka di tempat awam mungkin tidak menghalang individu sihat daripada dijangkiti Covid-19.

Namun, katanya, ia boleh menghentikan individu yang positif daripada menjangkiti orang lain.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 17,012 sampel kluster tabligh yang menyertai himpunan di Sri Petaling sudah diambil, dengan 1,591 daripadanya positif wabak.

Katanya, 10,912 sampel didapati negatif manakala 4,500 lagi masih menunggu keputusan.


Pengarang :