AGENDANASIONALSELANGOR

Tourism Selangor galak pelancong sertai projek sukarelawan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Pelancong domestik mahupun antarabangsa digalakkan terbabit dalam projek sukarelawan di negeri ini bagi meningkatkan kefahaman budaya dan komuniti tempatan, kata Tourism Selangor.

Badan promosi pelancongan negeri itu memaklumkan pelbagai aktiviti dijalankan bagi membolehkan pelancong turut serta dan memenuhi pengalaman percutian mereka juga membantu meneruskan kelangsungan alam sekitar di Selangor.

“Salah satu aktiviti dijalankan ialah program ‘Healing Broga’ untuk dua tahun berturut-turut. Sukarelawan membersihkan kawasan Bukit Broga serta menanam tunas pokok baharu bagi memelihara alam sekitar seterusnya menjadikan ia lebih rapi bagi menarik ramai pelancong.

“Kita juga pernah bekerjasama dengan Flyfirefly Sdn Bhd melancarkan kempen ‘Clean and Green’ di Taman Eko Rimba Kanching bagi menjaga kawasan berkenaan supaya lebih bersih selain memberi kesedaran mengenai pengurusan sisa yang betul,” katanya menerusi kenyataan.

Bagi penggemar haiwan pula, Tourism Selangor menjelaskan aktiviti sukarelawan boleh dilakukan di Zoo Negara di bawah Program Zoo Negara Keeperku seperti membersihkan sangkar, memberi makan kepada binatang dan membantu penjaga zoo dalam proses aktiviti pameran haiwan.

“Program Penjagaan Sungai (RCP) turut dijalankan di Selangor bagi menggalakkan perlindungan, pemulihan serta penggunaan potensi sungai. Aktivis alam sekitar juga dialu-alukan untuk menyertai projek sukarelawan ini.

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperkenalkan projek di Kampung Kuantan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) iaitu Projek Pemeliharaan Kampung Kuantan Firefly bertujuan mengekalkan ekosistem habitat kelip-kelip,” katanya.


Pengarang :