AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Tugas amil akan ditentukan, kutipan zakat secara dalam talian

SHAH ALAM, 20 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan memutuskan tugas penolong amil selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah susulan kutipan zakat fitrah pada tahun ini dilakukan secara dalam talian sepenuhnya, kata yang dipertuanya.

Saipolyazan M Yusop berkata kaedah kutipan zakat fitrah secara dalam talian diputuskan bagi mengekang penularan Covid-19.

Namun, beliau berkata pihaknya turut akan mengambil kira situasi mereka di luar bandar dan kurang pengetahuan berkaitan internet mungkin memerlukan bantuan penolong amil.

“Sebelum ini kira-kira 90 peratus individu membuat pembayaran zakat melalui penolong amil di masjid dan surau-surau di negeri ini.

“Mengambil kira situasi wabak ini dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), LZS menyediakan pelbagai platform pembayaran lebih pantas dan selamat bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah dan harta,” kata beliau dalam sidang media khas Facebook LZS hari ini.

Saipolyazan berkata orang ramai boleh buat pembayaran melalui kaedah EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my atau perbankan internet di sembilan bank iaitu Public Bank, Hong Leong Bank, Maybank, CIMB, Ambank, Bank Rakyat, RHB, Bank Islam dan Alliance Bank.

Selain itu, katanya, pembayaran juga boleh dilakukan di Portal MyEg; Pos Online; Aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost.

Beliau berkata, kada zakat tahun ini sama seperti tahun lalu iaitu RM7 seorang tetapi amat digalakkan kepada individu yang berkemampuan untuk membayar RM14, dan RM21 mengikut jenis beras yang dimakan.

“Dalam situasi PKP, saya yakin ramai umat Islam mengalami kegawatan ekonomi dan hilang punca pendapatan atau mungkin termasuk dalam golongan yang tidak berkemampuan.

“Justeru, walaupun bayar zakat itu wajib namun bagi individu yang ekonominya terbatas ketika PKP boleh menunaikan zakat mengikut kemampuan diri dan keluarga,” jelasnya.


Pengarang :