EXCOSELANGOR

Tujuh maut akibat denggi di Selangor ketika PKP

SHAH ALAM, 19 APRIL: Selangor mencatat tujuh kes kematian akibat denggi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata bermula 22 Mac hingga minggu epid ke-15 pada 12 April lalu, sebanyak 1,910 kes denggi dicatatkan di negeri ini, berbanding 3,321 bagi tempoh sama pada tahun lalu, menurun 42 peratus.

Secara keseluruhan, katanya, sejak Januari lalu sehingga 12 April 2020, terdapat 22,180 kes denggi dengan 23 kematian di Selangor.

“Pada 2019 (sehingga minggu epid ke-15), terdapat 23,323 kes denggi dengan 19 kematian. Ini menunjukan penurunan kes sebanyak 4.9 peratus.

“Bagaimanapun, kes kematian menunjukkan peningkatan 21.05 peratus. Terdapat dua kes kematian dilaporkan pada minggu epid ke-15 di Klang dan Petaling,” katanya menerusi kenyataan.

Dr Siti Mariah berkata lokaliti wabak yang mencatatkan kes tertinggi sehingga 12 April adalah Petaling iaitu 7,372 kes, diikuti Klang (4,582) dan Hulu Langat (3,709).

“Lokaliti wabak yang mencatatkan kes terendah adalah di Sabak Bernam dengan 69 kes,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan memperuntukkan RM5 juta tahun ini bagi program pencegahan denggi, berbanding RM3 juta pada tahun lalu.


Pengarang :