Sekatan jalan raya dilakukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berikutan Perintah Kawalan Pergerakan di Seksyen 7, Shah Alam pada 10 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDA

Tujuh peratus ingkar PKP, 800 individu diambil tindakan – MB

HULU KELANG, 11 APRIL: Masih berbaki tujuh peratus rakyat di negeri ini ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat semalam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau menerima laporan daripada polis semalam bahawa 93 peratus mengikuti arahan pihak berkuasa manakala seramai 800 individu ingkar dikenakan tindakan.

“Peperangan kita terhadap wabak Covid-19 masih diteruskan dan masyarakat perlu patuh agar rantaian Covid-19 segera diputuskan,” katanya selepas program turun padang ke DUN Hulu Kelang di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Lembah Keramat di sini hari ini.

Beliau turut menggesa rakyat berganding bahu memerangi wabak itu bagi mengurangkan beban petugas barisan hadapan di hospital yang sedang bertungkus-lumus merawat pesakit.

“Terdapat 1,118 kes di Selangor pada Khamis dan 73 peratus atau 819 pesakit sembuh sehingga semalam, diharap rakyat terus mematuhi arahan ditetapkan kerajaan.

“Kita bukan hanya mahu meningkatkan jumlah pesakit sembuh tetapi mengimbanginya dengan mengurangkan pertambahan kes baharu di negeri ini,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan PKP dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 28 April.


Pengarang :