Polis Hulu Selangor mengadakan sekatan jalan raya 24 jam bagi memastikan orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. – Foto FB Polis Hulu Selangor
AGENSISELANGOR

Tujuh sekatan jalan raya di Hulu Selangor, lima di plaza tol

SHAH ALAM, 15 APRIL: Polis meningkatkan operasi penguatkuasaan di Hulu Selangor menerusi tujuh sekatan jalan raya dan penutupan lima jalan sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamarudin berkata sekatan jalan raya 24 jam itu membabitkan lima plaza tol iaitu Tanjung Malim, Lembah Beringin, Sungai Buaya, Bukit Tagar dan Bukit Beruntung, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, dua lagi jalan yang terlibat ialah Kilometer 4 Jalan Ulu Yam – Sungai Tua dan Kilometer 34 Jalan Ipoh – Kuala Lumpur.

”Lima jalan ditutup ialah Jalan Utama Persiaran Kemboja, Jalan Kemboja 4A, Jalan Seroja 3A dan Jalan Kasturi di Bukit Beruntung.

“Pengguna boleh melalui jalan alternatif di Jalan Utama Lingkaran Kemboja, Taman Kemboja dan Jalan Utama Seroja, Taman Seroja di Bukit Beruntung,” katanya.

Orang ramai yang ingin membuat pertanyaan berkaitan PKP di Hulu Selangor boleh menghubungi talian hotline Covid-19 Ibu Pejabat Polis Hulu Selangor di 03-60641222 pada bila-bila masa.


Pengarang :