Remdesivir antara ubat yang digunakan bagi merawat pesakit Covid-19. Foto Unit Grafik SelangorKini
AGENDANASIONAL

Ubat rawat pesakit Covid-19 mencukupi – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 18 APRIL: Ubat antiviral Remdesivir digunakan untuk merawat pesakit Covid-19 di negara ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ketika ini pihaknya masih memantau hasil penggunaan ubat antiviral itu dan masih terlalu awal untuk dikongsikan hasilnya.

“Apa yang pasti ubat itu dan juga ubat-ubat yang lain, kita tidak mempunyai masalah…daripada segi stok pula semua mencukupi untuk merawat pesakit,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 di sini, semalam.

Dr Noor Hisham sebelum ini dilaporkan berkata ubat seperti Klorokuin, Hidroksiklorokuin dan kombinasi Lopinavir/Ritonavir digunakan untuk merawat virus pandemik itu.

Merujuk kepada kit ujian pantas antigen dari Korea Selatan, Dr Noor Hisham berkata kosnya kurang daripada RM50 tiap satu kit ujian, namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih sedang berbincang untuk mendapatkan harga yang rendah.

Disebabkan jumlah yang banyak diperlukan, beliau menjangkakan pembekal akan menetapkan harga lebih murah pada masa hadapan.

Kelmarin Dr Noor Hisham dilaporkan berkata KKM menemui kit ujian antigen dari Korea Selatan dengan kadar sesitiviti 84.4 peratus bagi membantu meningkatkan ujian Covid-10 dalam negara.

-BERNAMA


Pengarang :