AGENSISELANGOR

UiTM FC bantu pelajar tidak dapat pulang kampung

SHAH ALAM, 4 APRIL: Kelab Bola Sepak Universiti Teknologi MARA (UiTM FC) menyumbangkan cek tabung derma khas Covid-19 bagi membantu pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata kaptennya.

Mohd Faizal dalam kenyataan memaklumkan pelajar terbabit antara penyokong tegar pasukan tersebut dan sentiasa mengikuti perlawanan UiTM FC.

“Sudah sampai masanya kita pula menghulurkan sumbangan kepada mereka. Jika selama ini pemain UiTM FC sentiasa mengharapkan sokongan mereka sebagai penyuntik semangat, kini kita pula membantu mereka,” kata beliau.

Majlis penyerahan cek sumbangan UiTM FC disampaikan oleh Presidennya Prof Dr Azizan Abdullah yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM kepada Naib Canselor UiTM, Prof Emiritus Datuk Dr Azraii Kasim pada 2 April lalu.

Sumbangan adalah hasil kutipan daripada pegawai, jurulatih dan pemain skuad Liga Super, skuad piala presiden dan skuad piala belia UiTM FC.

Penyokong dan peminat yang ingin memberi sumbangan boleh disalurkan menerusi Affin Islamic Bank, bernombor 105140003422 atas nama Bendahari UiTM.

Peminat boleh melayari akaun Facebook UiTM FC lanjuthttps://www.facebook.com/441518776014047/posts/1637976299701616/ untuk maklumat lanjut.


Pengarang :