AGENDANASIONAL

Ujian Kafa batal, Jakim fikir kaedah pentaksiran baharu

SHAH ALAM, 17 APRIL : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) bagi subjek bertulis di seluruh negara dibatalkan, kata menteri hal ehwal agama.

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ujian itu sepatutnya dijadualkan pada 28 September hingga 1 Oktober ini.

Jelasnya, keputusan pembatalan itu kerana mengambil kira keselamatan dan kesihatan murid terjamin.

“Pembatalan UPKK tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid kerana mereka sudah mengikuti pendidikan Kafa bermula tahun satu hingga enam di peringkat rendah.

“Malah, potensi mereka juga boleh dinilai dengan pelbagai kaedah lain. Jakim akan tetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada 15 Mac lalu membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini.

KPM juga mengumumkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ditangguhkan kepada 2021 ekoran penularan Covid-19 di negara ini.

Langkah itu diambil bagi memastikan rantaian jangkitan wabak itu diputuskan dengan sepenuhnya.


Pengarang :