AGENDAPENDIDIKAN

UPM hasilkan 700 cecair pembasmi kuman

SHAH ALAM, 1 April: Penyelidik Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan lebih 700 botol cecair pembasmi kuman 30 mililiter (ml) dan 300ml dengan formulasi gel lidah buaya bagi mencegah penularan Covid-19.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Prof Madya Dr Mohd Razif Harun berkata idea menghasilkan produk tercetus apabila cecair itu sukar didapati di pasaran ketika ini.

Beliau berkata produk itu diuji di makmal UPM dan terbukti boleh membasmi kuman mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta sesuai untuk kegunaan orang ramai.

“Selain gel lidah buaya, produk ini menggunakan air ternyah ion, alkohol ternyah asli dan minyak pati semula jadi seperti lavender, lemon, campuran pati minyak semulajadi, pudina dan minyak kayu ditambah dalam campuran kerana berpotensi melawan bakteria serta menghalang jangkitan.

“Cuma buat masa ini, kami hentikan operasi pengeluaran kerana kehabisan peruntukan. Namun, jika ada dalam kalangan orang luar berminat memasarkan produk ini kami mengalu-alukan kerana ia memerlukan peruntukan, staf sepenuh masa dan fasiliti yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun, Dr Mohd Razif berkata buat masa ini produk itu tidak dijual sebaliknya digunakan untuk kegunaan dalaman kampus seperti lokasi tumpuan sekitar fakulti terutamanya di kaunter pejabat dan lif sebagai langkah pencegahan.


Pengarang :