AGENDANASIONALPENDIDIKAN

UPM lonjak kedudukan 101-200 universiti terbaik dunia

SHAH ALAM, 27 APRIL: Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta rekod cemerlang apabila melonjak dalam kelompok 101-200 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) University Impact Rankings 2020, kata naib canselornya.

Prof Datin Paduka Setia Dato’ Dr Aini Ideris berkata ia lebih baik berbanding tahun lalu iaitu pada kedudukan 201-300 dunia dan pengiktirafan itu cukup membanggakan kerana lebih 750 institusi pengajian tinggi dari 85 negara turut tersenarai dalam penarafan berkenaan.

“Pencapaian sehingga ke peringkat global ini adalah hasil komitmen dan kesungguhan tinggi warga UPM dalam melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan lestari dalam kampus serta sokongan berterusan lapisan warga kampus mencipta kecemerlangan, kemampanan dan integriti.

“Malah, kejayaan ini juga bakal menjadi penanda aras penting dan signifikan dalam UPM merangka Pelan Strategik baharu bagi tempoh 2021-2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Aini berkata kejayaan UPM dinilai menerusi empat pencapaian terbaik daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu iaitu menduduki tangga ke-19 dunia bagi SDG 4 (Kualiti Pendidikan), ke-96 dunia (SDG 11) (Bandar dan Komuniti Lestari), ke-98 dunia (SDG 17) (Perkongsian Matlamat) dan ke-201-300 (SDG 3) (Kesihatan dan Kesejahteraan).

“Menerusi pelbagai kejayaan cemerlang diraih UPM, ia sekali gus dapat memenuhi visi untuk menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa,” katanya.

Keputusan dikeluarkan pada 22 April lalu menyaksikan universiti dari New Zealand, Australia, Amerika dan Eropah mendominasi 10 kedudukan teratas dunia.


Pengarang :