Sekumpulan pakar robotik Universiti Putra Malaysia (UPM) melakukan proses menaik taraf lima robot bagi kerja-kerja nyahkuman di lokasi berisiko penularan Covid-19.
AGENDANASIONAL

UPM naik taraf lima robot basmi Covid-19

SHAH ALAM, 4 APRIL: Sekumpulan pakar robotik Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam proses menaik taraf lima robot untuk melakukan nyahkuman di lokasi berisiko penularan Covid-19, kata ketua projeknya.

Prof Madya Dr Wan Zuha Wan Hasan berkata projek itu dijangka siap minggu depan dan ia boleh digunakan bagi membasmi pandemik yang turut membahayakan barisan hadapan.

Beliau berkata bagi fasa pertama, lima robot digunakan bagi membersihkan kawasan kampus UPM iaitu di bilik dan dewan kuliah, kolej penginapan dan pejabat.

“Fasa kedua kami menawarkan khidmat robot untuk melakukan nyahkuman, penyediaan makanan dan pengukur suhu kepada hospital awam berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Zuha berkata, pihaknya mengalami kekangan bajet dan berharap ada pihak sudi membantu menaik taraf robot berkenaan.

Sementara itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan UPM, Prof Ir Ts Dr Nor Kamariah Nordin berkata pasukan itu mengubah suai lima robot  yang memenangi pertandingan Cooperative Robot Challenge (CRC) di Universiti Malaysia Perlis pada September tahun lalu.

“Pengubahsuian ini melibatkan penambahan sistem nyahkuman yang dipasang kepada semua robot tersebut,” katanya.


Pengarang :