Suasana di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) menghala ke Shah Alam yang memaparkan peringatan berkaitan wabak Covid-19 pada paparan elektronik di lebuh raya itu pada 16 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMI

Usahawan IKS boleh nikmati caj hantar bungkusan serendah RM5

CYBERJAYA, 16 APRIL: Usahawan mikro industri kecil dan sederhana (IKS) kini boleh menikmati harga serendah RM5, tidak termasuk cukai, untuk penghantaran bungkusan tidak melebihi satu kilogram di dalam Semenanjung, dalam Sabah dan dalam Sarawak di bawah Pakej PRIHATIN Pos dan Kurier.

Menghubungkan pengguna dan peniaga IKS melalui platform digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataannya, hari ini, berkata pakej rangsangan prihatin itu ditawarkan selama enam bulan bermula 15 April sehingga 15 Okt 2020.

Empat syarikat yang telah bersetuju melaksanakan pakej berkenaan ialah Pos Malaysia Bhd, GD Express Sdn Bhd, Skynet Worldwide (M) Sdn Bhd dan J&T Express Sdn Bhd, manakala syarikat lain dijangka turut serta dalam tempoh terdekat, katanya.

Untuk layak mendapat caj RM5, SKMM berkata peniaga dikehendaki membuat pendaftaran sebagai pelanggan digital di platform dalam talian syarikat kurier berkenaan.

“Peniaga tidak perlu hadir ke pusat penghantaran kerana semua urusan termasuk pembayaran dan cetakan borang pengesahan arahan kurier boleh dilakukan sendiri di rumah,” katanya.

SKMM berkata pakej rangsangan berkenaan diharap dapat menggalakkan lebih ramai usahawan IKS tempatan, terutamanya industri kampung di luar bandar, menceburi perniagaan dalam talian bagi menambah sumber pendapatan dan menyemarakkan lagi pertumbuhan ekonomi digital.

“Selain membolehkan usahawan menguruskan transaksi dan penghantaran barangan mereka secara lebih cekap dan menjimatkan, penggunaan platform digital syarikat pos dan kurier menggalakkan urusan tanpa kontak bagi mencegah risiko jangkitan penyakit seperti Covid-19,” katanya.

SKMM berkata sasaran utama pakej itu ialah mengurangkan beban dan meningkatkan kecekapan usahawan IKS di samping menggalakkan lebih banyak penyertaan peniaga dalam segmen dagangan sosial, iaitu golongan peniaga yang menggunakan media sosial sebagai saluran utama pemasaran kepada pelanggan.

-BERNAMA


Pengarang :