AGENDANASIONAL

Wakaf Selangor Muamalat salur dana kepada empat hospital awam

SHAH ALAM, 30 APRIL: Bagi sama-sama memerangi Covid-19, Wakaf Selangor Muamalat (WSM) turut memberi bantuan kewangan berjumlah RM159,600 kepada empat hospital awam.

Perbadanan Wakaf Selangor memaklumkan, daripada jumlah itu tiga hospital masing-masing menerima sumbangan RM40,000 iaitu Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur.

“Manakala sumbangan berjumlah RM39,600 diberikan kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak,” katanya menerusi Facebook.

WSM merupakan jalinan kerjasama antara Perbadanan Wakaf Selangor dan Bank Muamalat Malaysia Berhad bagi menguruskan dana wakaf secara bersama melalui pembentukan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JPB).

Melalui usaha sama ini, WSM akan menumpukan kepada aktiviti dan projek wakaf dalam dua segmen iaitu kesihatan dan pendidikan. Dana wakaf ini juga akan dilaburkan di dalam aktiviti yang berlandaskan syariah.


Pengarang :