Selangorkini
EXCO SELANGOR

Warga agro Selangor boleh mula mohon bantuan makanan asas – EXCO

SHAH ALAM, 6 APRIL: Warga agro Selangor yang berpendapatan bersih RM1,500 dan ke bawah kini boleh mula membuat permohonan bantuan makanan asas daripada Kerajaan Negeri, kata EXCO pertanian.

Ir Izham Hashim berkata ia melibatkan petani, penternak, nelayan dan usahawan industri asas tani (IAT) seperti yang diumumkan menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0.

“Pemohon mestilah terdiri dari mereka yang tidak pernah menerima bantuan makanan asas. Semoga inisiatif ini mengurangkan beban yang ditanggung ketika ini,” katanya menerusi kenyataan.

Pemohon boleh membuat permohonan di https://bit.ly/3441hg9 atau emel ke [email protected] sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan.

Izham berkata menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 yang diumumkan pada 1 April lalu, sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk portfolio Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani di negeri ini.

Menerusinya, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk bantuan benih, ternakan, peralatan dan bahan mentah kepada petani, penternak dan nelayan.

“Kedua, sebanyak RM1 juta sebagai suntikan modal kepada program Pasar Agro Selangor.

“Ketiga sebanyak RM500,000 disalurkan untuk bantuan makanan asas kepada petani, penternak, nelayan dan usahawan industri asas tani yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya.


Pengarang :