AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Warga Shah Alam boleh nikmati nasi briyani, popia melalui Plats

SHAH ALAM, 27 APRIL: Penduduk Shah Alam kini boleh menikmati aneka juadah berbuka puasa melalui Platform Selangor (Plats), meskipun tiada penganjuran bazar Ramadan tahun ini.

Platform e-dagang yang dibangunkan Kerajaan Negeri menjual pelbagai makanan bermula dari hidangan pembuka hingga pencuci mulut, yang boleh ditempah melalui www.plats.com.my.

Antaranya Nasi Daging Utara Air Asam, Nasi Briyani Ayam Merah, Asam Pedas Mama, Nasi Ayam Seksyen 6, Mee Rebus Haji Wahid, Soto Johor, Don Kari Kepala Ikan dan Popia S S Asli.

Untuk pemanis mulut, warga bandar raya itu boleh memilih menu popular seperti apam balik Sungai Besar, kuih lopes, pulut sekaya, bubur kacang dan putu perak warisan.

Orang awam juga boleh mendapatkan menu lain seperti Sotong Bakar Original Morib, Murtabak Amelia Thamby Hussin, roti john ayam atau daging, rojak pasembor, rojak tauhu Johor dan laksa.

Air tebu yang sinonim ketika Ramadan juga disediakan di samping beberapa minuman lain antaranya kelapa, bandung, jus buah dan aneka air balang.

Pada 18 April lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pelaksanaan Plats bagi membantu peniaga di Selangor menjana pendapatan tambahan ketika Ramadan susulan pembatalan bazar di seluruh negara.


Pengarang :