Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 1 April 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

15 dapur berpusat bantu peniaga jayakan e-bazar Ramadan Selangor

SHAH ALAM, 8 APRIL: Sebanyak 15 lokasi akan dipilih menjadi dapur berpusat bagi mengumpul peniaga memasak dan menjual juadah sepanjang Ramadan ini, kata Dato’ Menteri Besar Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sepanjang berada di pusat berkenaan, peniaga perlu mematuhi tatacara operasi piawaian (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak wabak Covid-19.

“Antara SOP, peniaga perlu mengekalkan jarak antara satu sama lain selain memasak makanan mengikut spesifikasi ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, aktiviti dapur berpusat akan diselia Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dengan kerjasama Hijrah Selangor.

Bagaimanapun, 15 lokasi dapur berpusat yang bakal dipilih belum dimuktamadkan.

Amirudin berkata bagi memudahkan urusan menjual masakan tersebut, pihaknya mewujudkan E-Bazar Ramadan Selangor GRAB hasil kerjasama dengan syarikat penghantaran Grab Malaysia.

“Pembeli boleh membuat tempahan melalui aplikasi GRAB dan makanan akan dihantar ke rumah pelanggan. Ini lebih sistematik dan selamat,” katanya.

Pada 1 April lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri membatalkan bazar Ramadan di Selangor tahun ini ekoran wabak Covid-19 yang melanda seluruh negara.

Keputusan itu dijangka menjejaskan pendapatan hampir 17,000 peniaga dan penjaja.


Pengarang :