Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar (dua kiri) menyampaikan sumbangan set pelindung muka kepada wakil Hospital Selayang pada 13 April 2020. Foto ihsan Yide
AGENSISELANGOR

Yide sumbang 1,500 set pelindung muka kepada petugas barisan hadapan

SHAH ALAM, 13 APRIL: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) menyumbang 1,500 set pelindung muka kepada kakitangan barisan hadapan di tiga hospital dan sebuah pejabat kesihatan di Selangor hari ini, kata pengurus besarnya.

Nur Mohd Razali Abdullah berkata hospital yang menerima peralatan itu ialah Hospital Selayang, Hospital Kajang, Hospital Banting dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat.

“Penghasilan Pelindung Muka atau dikenali Mahabbah Face Shield adalah kolaborasi di antara Yide dan Rumah Anak Yatim Kasih Harmoni Paya Jaras yang bertungkus-lumus menyediakan 1,500 unit untuk kegunaan pihak hospital,” katanya dalam kenyataan.

Penyerahan itu disertai penceramah terkemuka yang juga Ahli Majlis, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Dr Farid Ravi Abdullah dan Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar.

Mohd Razali berkata pengagihan set pelindung muka adalah hasil daripada sumbangan Tabung Prihatin Covid-19 Mais yang ditubuhkan pada 20 Mac lalu bagi meringankan beban petugas hadapan.

Beliau turut mempelawa penyumbang untuk menyalurkan bantuan Tabung Prihatin Covid-19 Mais terus ke http://fpx.mais.gov.my/epay/sedekah.php atau pindahan wang ke nombor akaun Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) (12038010134961) atas nama Majlis Agama Islam Selangor. (Nyatakan:Tabung sumbangan Covid19).


Pengarang :