Suasana di sekitar Klinik Desa Sungai Lui pada 6 April 2020 menyaksikan barisan hadapan terdiri daripada jururawat dan doktor giat mengambil sampel daripada penduduk bagi ujian saringan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Zon merah Selangor kekal hanya Hulu Langat

SHAH ALAM, 23 APRIL: Selangor masih mengekalkan satu mukim iaitu di Hulu Langat sebagai zon merah wabak Covid-19 setakat jam 12 tengah hari, hari ini.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menerusi Twitter malam ini memaklumkan kes aktif jangkitan pula meningkat kepada 49 kes berbanding 42 kes semalam.

“Zon Merah (mukim) di Selangor masih kekal satu daerah saja pada hari ini. Daerah Klang pula hampir memasuki zon kuning. Teruskan usaha kita, patuh Perintah Kawalan Pergerakan,” tulis pasukan itu di Twitter.

KKM menetapkan kawasan yang lebih 40 kes sebagai zon merah, manakala zon jingga 21 hingga 40 kes. Tiada kes dianggap zon hijau, sementara 1 hingga 20 kes pula zon kuning.

Secara keseluruhan jumlah kes terkumpul jangkitan Covid-19 di negeri ini adalah 1,369 termasuk 12 kes baharu dicatatkan hari ini.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding semalam yang hanya merekodkan satu kes.

Kes aktif pula iaitu yang sedang dirawat adalah seramai 264 manakala sehingga hari ini sebanyak 14 kematian dicatatkan.


Pengarang :