Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Zoo Negara perlu sumbangan makanan buat haiwan

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Zoo Negara memerlukan lebih banyak sumbangan bahan mentah dalam bentuk daging, sayur-sayuran dan buah-buahan bagi menampung keperluan bekalan makanan di taman haiwan itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pegawai Zoologinya, Wan Noor Hayati Wan Ab Aziz berkata ia berikutan makanan haiwan berkenaan sebelum ini diperoleh melalui hasil penjualan tiket masuk, sewaan tempat acara, tajaan syarikat dan sumbangan orang ramai.

“Makanan utama iaitu daging, sayur dan buah amat diperlukan dengan jumlah yang banyak untuk bekalan makanan haiwan jenis herbivor dan karnivor di zoo ini. Kami mengalu-alukan sumbangan pihak luar pada ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas menerima sumbangan daripada Tesco Malaysia dan Restoran Maruki Ramen melalui syarikat Kembara Kitchen di sini semalam.

Orang ramai atau pihak luar yang ingin menyalurkan sumbangan berbentuk bahan mentah boleh terus emel ke [email protected] atau sumbangan wang tunai melalui https://www.zoonegaramalaysia.my/adopt.html.

Terdahulu, Zoo Negara menerima sumbangan bahan mentah berupa ayam, ikan dan hati ayam dari Tesco Malaysia dan Restoran Maruki Ramen.

Pengasas bersama Kembara Kitchen Yilyn Chan berkata pihaknya akan membantu menghantar sumbangan bahan mentah dari dua syarikat berkenaan pada setiap hari Selasa dan Jumaat sepanjang tempoh PKP.

Sabtu lalu, Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly Ahmat Lana berkata Zoo Negara terpaksa menggunakan tabung kecemasannya yang hanya mampu bertahan selama tiga bulan untuk meneruskan operasi.

Tabung kecemasan tersebut adalah peruntukan diwujudkan khusus oleh pihak pengurusan Persatuan Zoologi Malaysia (MSZ) untuk keadaan seperti di luar jangka ini.

– BERNAMA


Pengarang :