Aliran trafik sesak di Plaza Tol Gombak menghala Karak ekoran sekatan jalan raya ketika tinjauan pada 16 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

144 kompaun langgar larangan rentas negeri dikeluarkan semalam – Ismail Sabri

SHAH ALAM, 31 MEI: Polis mengeluarkan 144 kompaun terhadap pemandu yang berdegil dan melanggar larangan rentas negeri semalam, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata masih ada individu melanggar larangan berkenaan dengan memberi pelbagai alasan walaupun kerajaan berulang kali memberi amaran.

“Berdasarkan statistik yang diterima, Perak merekodkan cubaan rentas negeri tertinggi dengan 42 kompaun diikuti Selangor 32 kompaun serta Pulau Pinang dan Johor masing-masing 24 kompaun.

“Statistik ini menunjukkan masih ada yang cuba merentas diri dan kita tidak akan bertolak ansur terhadap pesalah ini,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata polis turut menahan 158 individu kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

“Daripada jumlah tersebut seramai 157 telah direman manakala satu individu dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya.


Pengarang :