Aliran trafik sesak di Plaza Tol Gombak menghala Karak ekoran sekatan jalan raya ketika tinjauan pada 16 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

1,248 kenderaan diarah patah balik, degil mahu rentas negeri

SHAH ALAM, 17 MEI: Masih ramai lagi berdegil untuk melakukan perjalanan rentas negeri apabila 1,248 kenderaan diarah berpatah balik ketika cuba melepasi sekatan jalan raya semalam, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jumlah itu meningkat sekali ganda berbanding kelmarin iaitu 508 kenderaan.

“Ini bermakna lebih sekali ganda rakyat yang cuba curi-curi pulang ke kampung dengan pelbagai alasan. Jadi saya harap tak perlu cuba pulang ke kampung, lebih-lebih lagi Aidilfitri nanti.

“Setakat ini polis hanya mengarahkan berpatah balik tetapi jika dikenakan kompaun, sudah pasti kita yang rugi,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Namun beliau memberi peringatan kepada mereka yang mungkin terlepas sekatan pihak berkuasa untuk pulang ke kampung, bahawa mereka akan melalui sekatan untuk pulang semula ke rumah sama ada di Kuala Lumpur atau lokasi lain.

“Tiada jaminan bahawa mereka akan terlepas sekali lagi sekatan jalan untuk pulang semula sama ada ke Kuala Lumpur untuk kembali bekerja kelak,” katanya.

Ismail Sabri berkata menerusi tinjauan dilakukan Majlis Keselamatan Negara, ramai yang mahu kerajaan perketatkan perintah bukan melonggarkannya.

“Ramai kata kerajaan tidak boleh beri kelonggaran, tujuan adanya sekat untuk elak wabak merebak. Kita cuba untuk sekat, jadi jangan kita yang balik (kampung) ini jadi penyebar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, seramai 132 individu ditahan kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.

“Nampaknya setiap hari, mereka yang gagal patuh larangan dan SOP bertambah daripada satu ke sepuluh seterusnya meningkat 72 semalam dan hari ini meningkat kepada 132.

“Mungkin ramai anggap PKPB tidak tertakluk dalam mana-mana undang-undang. Justeru saya mohon setiap individu patuh kepada arahan dan SOP,” katanya.


Pengarang :