Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau sebuah dapur berpusat yang dilaksanakan Kerajaan Negeri pada 2 Mei 2020. Foto Twitter Amirudin Shari
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

133 peniaga sertai e-bazar Ramadan Selangor

SHAH ALAM, 2 MEI: Seramai 133 peniaga mengambil peluang memasarkan menu berbuka puasa masing-masing menerusi e-bazar Ramadan Selangor, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peniaga yang ditempatkan di semua dapur berpusat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Alhamdulillah, setakat ini hampir 133 peniaga menyertai inisiatif ini. SOP yang ketat dipatuhi di mana rekod kehadiran dan suhu badan serta cecair pembasmi kuman disediakan,” tulisnya di Twitter hari ini.

Menerusi Twitter tersebut, Amirudin turut dilihat mengunjungi salah sebuah dapur berpusat yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Pada 24 April, beliau mengumumkan sebanyak 200 ruang disediakan untuk peniaga menjual juadah berbuka puasa dengan pendaftaran dibuka sehingga akhir minggu pertama Ramadan.

Program ini disertai dua saluran e-dagang khas iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats) dengan juadah dihantar syarikat penghantar seperti Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Pratempahan bermula 10 malam sehingga 1 tengah hari dan menerusi langkah ini peniaga mempunyai jumlah anggaran tempahan selain dapat mengurangkan pembaziran.

Rata-rata peniaga yang memulakan perniagaan bersyukur dan gembira kerana hasil jualan dalam talian bertambah malah menyifatkan penggunaan aplikasi dipilih Kerajaan Negeri mudah difahami.


Pengarang :