Aliran trafik di Plaza Tol Duta, Kuala Lumpur menghala ke utara tanah air perlahan ekoran sekatan jalan raya bagi menyaring pemandu yang masih mahu pulang menyambut Aidilfitri di kampung ketika tinjauan pada 23 Mei 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

14 individu beraya di kampung tanpa kebenaran dikompaun

SHAH ALAM, 25 MEI: Polis mengeluarkan 14 kompaun kepada individu yang dikesan merentas negeri tanpa kebenaran dan berada di kampung untuk berhari raya, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata pihaknya mengambil tindakan tegas ke atas individu terbabit selepas melakukan pemeriksaan dan mengingatkan bahawa rentas negeri untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri tidak dibenarkan.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terus cuba merentas negeri tanpa kebenaran, termasuk mengenakan kompaun. Semalam  polis mengeluarkan 214 kompaun di sekatan jalan raya,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, Selangor terus menjadi negeri tertinggi yang cuba merentas negeri semalam dengan 685 kenderaan diikuti Negeri Sembilan (133) dan Pahang (72).

Katanya, sebanyak 1,243 kenderaan diarah berpatah balik berbanding 1,158 pada hari sebelumnya dalam 162 sekatan jalan di seluruh negara.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 127,552 kenderaan diperiksa selain menahan 470 inidividu atas kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


Pengarang :