Kelihatan orang awam mengambil barang yang dipesan dengan pelbagai cara ketika tinjauan di sekitar Bandar Baru Selayang yang merupakan antara kawasan yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 25 April sehingga 3 Mei ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

17 lagi dikesan positif Covid-19 di Selayang Baru

SHAH ALAM, 1 MEI: Sebanyak 17 kes baharu positif Covid-19 dicatatkan di lokaliti Selayang Baru yang kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan 28 kes direkodkan setakat ini dengan 14 daripadanya bukan warganegara.

Bagi lokaliti Pusat Bandar Utara dan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, beliau berkata berlaku pertambahan tiga kes hari ini menjadikan keseluruhan 86 kes dengan 62 bukan warga Malaysia.

“Daripada jumlah itu sebanyak 19 kes adalah di luar kawasan PKPD. Satu kematian dicatatkan setakat ini membabitkan warga asing.

“Siasatan masih berterusan untuk mengenal pasti kontak rapat mereka yang disahkan positif Covid-19,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Mengenai kes positif Covid-19 di beberapa pasar di seluruh negara termasuk Pasar Jalan Othman dan Taman Megah di Petaling Jaya, beliau berkata proses saringan dan nyahkuman dilaksanakan secara berterusan.


Pengarang :