AGENDABERITA UTAMANASIONAL

207 tahanan warga asing di depoh imigresen positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Seramai 207 daripada 13,929 pendatang tanpa izin yang ditahan di tiga Depoh Tahanan Imigresen di Semenanjung Malaysia didapati positif Covid-19.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata daripada jumlah itu, 110 daripada mereka telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) untuk mendapatkan rawatan.

“Baki pendatang yang positif jangkitan masih berada di tiga buah Depoh Tahanan Imigresen iaitu di Bukit Jalil, KLIA dan Semenyih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mengiringi lawatan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke pusat kuarantin berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Pada masa yang sama, katanya, seramai 238 pegawai imigresen yang bertugas di tiga depoh tahanan terlibat dikenakan perintah kuarantin selama 14 hari dan tugas kawalan diambil alih pegawai imigresen negeri yang berkaitan.

Khairul Dzaimee memaklumkan, setakat ini terdapat seramai 14,496 pendatang tanpa izin di depot tahanan negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata lawatannya ke pusat kuarantin itu bagi melihat kemampuan tempat berkenaan menampung pesakit Covid-19 jika jumlahnya meningkat.

Beliau berkata, pusat itu berkemampuan untuk menampung seramai 600 pesakit dan kerajaan telah pun mengenal pasti beberapa lagi pusat kuarantin lain untuk menempatkan pendatang tanpa izin ini jika bilangan mereka meningkat.

– BERNAMA


Pengarang :