Orang ramai mematuhi penjarakan sosial satu meter ketika membeli barangan keperluan harian di Pasar Kajang pada 19 Mac 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

216 peniaga, pekerja Pasar Awam Kajang saring Covid-19

SHAH ALAM, 20 MEI: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengambil langkah awal membendung penularan Covid-19 dengan membuat saringan terhadap 216 peniaga dan pekerja di Pasar Awam Kajang, kata pegawai perhubungan awamnya.

Kamarul Izlan Sulaiman berkata program yang dilakukan bersama Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat pada 18 Mei lalu berlangsung di Dewan Seri Cempaka MPKj Saujana Impian.

“Kesemua peniaga dan pekerja diminta menjalani saringan ini sebelum mereka dibenarkan bekerja atau berniaga semula.

“Kami belum mendapat keputusan rasmi mengenai saringan tersebut dan menunggu makluman daripada pihak Kementerian Kesihatan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini malam tadi.

Beliau berkata, pasar berkenaan mula ditutup hari ini bagi tujuan pembersihan dan nyahkuman manakala pembukaan semula akan dimaklumkan kemudian.

“Keselamatan orang awam adalah keutamaan walaupun kami sedia maklum Aidilfitri bakal disambut hujung minggu ini dan orang ramai mahu membeli barang,” jelasnya.

Sebelum ini, empat pasar awam ditutup berhubung kait dengan kluster kes di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Pasar yang ditutup ialah dua di Selangor membabitkan Pasar Awam Taman Megah dan Pasar Awam Jalan Othman, masing-masing sebuah pasar di Jalan Chow Kit dan pasar di Bahau, Negeri Sembilan.


Pengarang :