Sebahagian warga tempatan yang dikuarantin di Hotel Impiana, Kuala Lumpur pada 16 April 2020 melambaikan tangan tanda sokongan kepada barisan hadapan yang bertugas merawat jangkitan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

227 individu dikuarantin terima bantuan khas hilang pendapatan

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Seramai 227 individu yang dirawat dan dikuarantin menerima bantuan khas hilang pendapatan sebanyak RM100 sehari melibatkan jumlah RM309,700 daripada Tabung Covid-19 setakat kelmarin.

Timbalan Ketua Pengarah (Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Mohamad Azhan Md Amir berkata ada dalam kalangan pesakit terlibat yang menjalani tempoh rawatan dan dikuarantin tidak sampai 14 hari.

“Jumlah pemberian bergantung kepada berapa hari mereka dikuarantin dan berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini, Nadma telah menerima lebih 8,000 permohonan untuk bantuan khas itu sejak Tabung Covid-19 dilancarkan 11 Mac lepas,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk Tabung Covid-19 terbitan Bernama TV malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya sedang melakukan tapisan dengan bantuan KKM untuk memastikan semua urusan pengagihan bantuan berjalan lancar walaupun terdapat sedikit kekangan apabila terdapat maklumat yang diberikan oleh pemohon tidak lengkap.

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang ingin memohon bantuan supaya membaca dan memahami syarat kelayakan yang ditetapkan untuk memastikan permohonan dapat diuruskan dengan cepat.

Beliau berkata, bantuan itu hanya dikhaskan kepada warga Malaysia yang kehilangan sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang tempoh kuarantin oleh KKM selama 14 hari serta mereka yang menjalani rawatan di wad hospital akibat Covid-19.

Sementara itu, Bantuan Ihsan Kematian sebanyak RM5,000 diserahkan kepada kepada 87 waris mangsa yang terkorban kerana Covid-19, melibatkan jumlah keseluruhan RM435,000.

Sehingga kelamrin, Tabung Covid-19 telah mengumpulkan sebanyak RM42.924 juta hasil pelbagai sumber termasuk sumbangan awal kerajaan, institusi diraja, anggota pentadbiran daripada 25 kementerian, korporat serta individu.

Menyentuh mengenai isu penipuan dalam talian, Mohamad Azhan menasihati orang ramai agar sentiasa merujuk kepada laman web rasmi Nadma dan talian 03-8870 4800 bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai bantuan tersebut.

– BERNAMA


Pengarang :