Pasar Besar Jalan Othman di Petaling Jaya menjalani nyahkuman pada 27 April 2020. Foto MBPJ
AGENSISELANGOR

24 kes Covid-19 dikesan di Pasar Jalan Othman dan Taman Megah

SHAH ALAM, 5 MEI: Sebanyak 24 kes Covid-19 daripada kluster Pasar Borong Kuala Lumpur dikesan di dua pasar di Petaling Jaya, Selangor, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 23 kes direkodkan di Pasar Besar Jalan Othman dan satu kes di Pasar Taman Megah, Petaling Jaya.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan saringan terhadap 454 orang yang dipercayai kontak rapat dengan kluster Pasar Borong Kuala Lumpur.

“Selain itu seramai 142 orang yang dipercayai kontak rapat kluster tersebut di Pasar Taman Megah turut menjalani proses saringan,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut Dr Noor Hisham berkata jangkitan kluster Pasar Borong Kuala Lumpur turut dikesan berlaku di Pasar Besar Seremban melibatkan tiga kes dan Pasar Besar Bahau, Negeri Sembilan (2).

Terdahulu, Dr Noor Hisham berkata peniaga dan pemborong di Pasar Borong Kuala Lumpur wajib menjalani saringan Covid-19 serta mengemukakan keputusan ujian sebelum dibenarkan berniaga.

Beliau berkata langkah tersebut diambil selepas 180 kes direkodkan di Pusat Bandar Utara dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.


Pengarang :