Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan juadah berbuka puasa kepada Brigedier Jeneral Norsham Md Tap dan petugas barisan hadapan di Balai Penghulu Mukim Batu, Gombak pada 1 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

3,000 saringan ke atas penghuni di tiga lokasi di Selayang Baru

BATU CAVES, 1 MEI: Sebanyak 3,000 saringan dilakukan ke atas penghuni di tiga kawasan Selayang Baru yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum lokasi tersebut dapat diisytiharkan zon bebas Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi saringan tersebut, lebih 20 penghuni membabitkan warga tempatan dan asing dikesan positif wabak itu.

“Daripada enam lokasi di Selayang Baru (dikenakan PKPD), paling tidak ada tiga lokasi yang boleh dianggap negatif (Covid-19) keseluruhan.

“Kita berharap keadaan boleh dipulihkan (selepas saringan) seterusnya dapat lepaskan dan memberi ruang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan seperti biasa,” kata beliau.

Amirudin berkata demikian selepas melawat dan menyampaikan juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan di Balai Penghulu Mukim Batu di sini hari ini.

Beliau yang juga ahli dewan negeri Sungai Tua berkata pihaknya akan memastikan kawasan terbabit dikenakan PKPD untuk tempoh beberapa hari lagi sebelum ditamatkan.

“Sebelum dilepaskan, kita akan buat kajian di kawasan tersebut untuk mengelakkan sebarang jangkitan dan memastikan tempat itu bersih,” katanya.

Pada 25 April lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengisytiharkan enam parcel di Selayang Baru dikenakan PKPD sehingga 3 Mei.

Enam parcel terbabit ialah Zon A iaitu Jalan Indah 3 dan Jalan Indah 5A, Selayang Indah; Zon B (Jalan Indah 21, Lembah Indah, Selayang Baru) dan Zon C (Jalan Besar Selayang Baru, Jalan 1 dan Jalan Indah 21, Selayang Baru).

Selain itu, Zon D (Jalan 3, 5, 7 dan 9, Selayang Baru); Zon E (Jalan 2, 4, 6 dan 8, Selayang Baru) dan Zon F (Blok A, B dan C, Selayang Makmur).


Pengarang :