Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan pada 14 April 2020. Foto Sumber: BERNAMA
AGENDANASIONAL

31 lagi pesakit baharu Covid-19, tiada kematian

SHAH ALAM, 20 MEI: Terdapat 31 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 7,009 manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 1,189, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 31 kes baharu, 10 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 21 kes adalah penularan tempatan dengan 10 kes membabitkan bukan warganegara.

“Sehingga kini, terdapat 11 kes positif Covid-19 dirawat di unit rawatan rapi manakala tujuh memerlukan bantuan pernafasan,” kata beliau pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, 60 pesakit pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital sekali gus menjadikan jumlah pesakit sembuh adalah 5,706 kes.

Katanya, tiada tambahan kes kematian dilaporkan setakat ini dan angka korban akibat virus itu kekal 114 kes.


Pengarang :