Dato’ Seri Amirudin Shari ditemui media selepas melawat dan menyampaikan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di kawasan PKPD Selayang Baru, Gombak pada 1 Mei 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

37 lagi pesakit Covid-19 di Selangor, peningkatan merisaukan – MB

SHAH ALAM, 23 MEI: Kes baharu positif Covid-19 di negeri ini mencatatkan 37 kes setakat jam 12 tengah hari tadi berbanding 20 semalam, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter berkata peningkatan kes harian yang berterusan sejak beberapa hari lalu membimbangkan.

“Peningkatan kes harian yang pasti merisaukan. Namun, suka saya maklumkan butiran kepada pecahan 37 kes hari ini sebagaimana laporan bilik gerakan Covid-19 Selangor ialah 21 kes membabitkan depot tahanan Semenyih (warga asing), tiga kes di Pasar Sungai Chua di Kajang, tiga kes di Hulu Selangor, empat kes import manakala enam kes tempatan,” tulisnya di Twitter.

Semalam, Selangor kembali dengan status zon merah apabila Hulu Langat mencatatkan 45 kes aktif Covid-19.

Kali terakhir Selangor diklasifikasikan sebagai zon merah pada 18 Mei lalu apabila Petaling mecatatkan 50 kes aktif namun daerah berkenaan kini hanya mempunyai 25 kes aktif.

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesan wujud kluster baharu membabitkan 21 individu positif Covid-19 di depot tahanan Semenyih dan sehingga kini saringan di pusat tahanan imigresen itu giat dilakukan merangkumi 1,750 sampel.


Pengarang :