Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal di sekitar kawasan Bandar Baru Selayang pada 6 MEI 2020. FOTO: BERNAMA
AGENDANASIONAL

39 pesakit baharu wabak, 74 dibenar keluar hospital

SHAH ALAM, 7 MEI: Sebanyak 74 kes positif Covid-19 pulih dan dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah keseluruhan sembuh  4,776 kes, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat jam 12 tengah hari tadi , sebanyak 39 kes baharu dikesan menjadikan jumlah keseluruhan mangsa dijangkiti wabak meningkat kepada 6,467 kes.

Katanya, kes baharu membabitkan sembilan rakyat tempatan manakala 30 kes lagi melibatkan warga asing.

“Sebanyak 1,584 kes disahkan aktif dan berkebolehjangkitan namun pesakit berkenaan diasingkan dan diberi rawatan.

“Satu daripada kes baharu yang dikesan adalah kes import manakala 38 kes penularan tempatan. Lapan dikesan daripada kluster lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD),” kata beliau pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, 19 kes masih dirawat di unit rawatan rapi dan lapan daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada kematian baharu direkodkan. Ini menjadikan jumlah mangsa korban kekal 107,” katanya.


Pengarang :